Kursus Setup Laptop Membina Generasi Berkemahiran

KAHERAH, 9 April- Unit Penerangan dan Penerbitan Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir sesi 2013/2014 telah mengadakan Kursus Setup Laptop 2014 pada hari Isnin yang lalu. Kursus yang bertemakan ‘Mahasiswa Berkemahiran Pencetus Transformasi’ ini diadakan bagi mencapai beberapa objektif, iaitu:

1. Memberi pendedahan kepada ahli tentang ‘hardware’ komputer.
2. Memberi kesedaran dan pengetahuan kepada ahli tentang cara-cara penjagaan komputer yang sebenar.
3. Melahirkan pelapis dan aktivis BKAWM yang berkualiti dan berkemahiran serta berpengetahuan tinggi.

          Kursus sehari ini mendapat sambutan yang menggalakkan bukan sahaja daripada ahli Asrama Rumah Wilayah Persekutuan, tetapi juga ahli rumah sewa. Seramai 26 orang peserta telah hadir memenuhi kuota yang ditetapkan oleh pihak penganjur kursus yang diadakan di Dewan Sri Putra, Asrama Rumah Wilayah Persekutuan ini.

          Kesemua peserta yang hadir tidak melepaskan peluang bagi menimba ilmu dari pengisi yang sangat berpengalaman dalam bidang teknologi maklumat, iaitu saudara Mohammad Firdaus bin Mohammed Muzi yang juga merupakan mantan Pengarah PMRAM Multimedia Crew (PMC). Pelbagai persoalan diajukan bagi memanfaatkan ruang yang disediakan.

          “Kursus ini dirangka dengan tujuan khususnya iaitu bagi melahirkan mahasiswa yang berkemahiran tinggi memandangkan komputer riba telah menjadi suatu keperluan yang tinggi untuk dimiliki oleh para pendakwah dewasa ini seiring dengan perkembangan teknologi yang rancak,” ujar Pengarah Kursus Setup Laptop 2014 iaitu saudara Muhammad Luqman Hakim bin Abdul Halim.

          Diharapkan agar kursus ini dapat melahirkan aktivis dan pelapis yang berkualiti dan berkemahiran seiring dengan misi BKAWM sesi ini iaitu membina generasi pelapis yang berkualiti. Melalui kursus ini juga diharapkan agar dapat menjadi bekalan kepada para mahasiswa untuk terjun ke medan dakwah yang sebenar kelak.

"Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah"
"Satu Fikrah Satu Amal"




Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]