Majlis Ramah Mesra Mempererat Hubungan Antara Dua Pihak


KAHERAH, 4 April 2014- Pihak Pejabat Pengurusan MAIWP Mesir (PPMM) telah menganjurkan sebuah Majlis Ramah Mesra bersama Delegasi MAIWP dengan kerjasama Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) pada 2 April yang lalu. Majlis yang dikelolakan oleh Unit Pendaftaran dan Sambutan BKAWM sesi 2013/2014 ini telah dihadiri hampir 100 orang anak Wilayah Persekutuan yang tinggal di sekitar Kaherah dan juga cawangan.

          Tujuan utama majlis ini diadakan adalah supaya pihak delegasi yang terdiri daripada Pengurus Bahagian Baitulmal MAIWP, Encik Mohd Nizam bin Haji Yahya dan Penolong Pengurus Bahagian Baitulmal MAIWP, Encik Ahmad Fadli bin Adam dapat membuat tinjauan perihal kebajikan anak-anak Wilayah Persekutuan di Mesir di samping dapat merungkai persoalan dan kemusykilan daripada mereka berkaitan Baitulmal MAIWP.

          Majlis bermula dengan penerangan daripada pihak Delegasi MAIWP tentang status terkini Baitulmal MAIWP yang sedang dikemaskini sistemnya ke arah sistem yang lebih baik. Kemudian, majlis diteruskan dengan sesi soal jawab daripada para mahasiswa yang hadir. Majlis berjalan dengan lancar dan meriah. Pelbagai permasalahan yang membelenggu mereka diselesaikan dan dirungkai oleh pihak delegasi. Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah daripada PPMM dan BKAWM kepada pihak delegasi.

          "Kita mengharapkan agar mahasiswa-mahasiswa Wilayah Persekutuan di Mesir dapat memberi komitmen kepada BKAWM, bukan hanya mengharapkan bantuan semata-mata," kata Encik Nizam dalam ucapan penutupan. Beliau juga mengharapkan agar hubungan antara BKAWM dengan Baitulmal MAIWP akan menjadi lebih erat selepas daripada ini. Pihak delegasi bakal menamatkan lawatan kerja mereka ke Mesir dan Jordan pada malam ini. Mereka mengalu-alukan sebarang pertanyaan dan persoalan untuk diajukan sepanjang masa berbaki mereka di sini agar tindakan segera dapat diambil sekiranya perlu.

          Barisan kepimpinan BKAWM berbesar hati dengan kehadiran pihak delegasi ke bumi kinanah ini. Semoga dengan majlis yang diadakan dapat memperkukuh hubungan antara BKAWM dan MAIWP yang merupakan penaung rasmi BKAWM dan dapat melancarkan gerak kerja kedua-dua pihak dalam menjaga kebajikan anak-anak Wilayah Persekutuan yang sedang menuntut di Mesir.

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]