Secretary Workshop 2014 Lahirkan Setiausaha Berketerampilan




6 APRIL, Kaherah – ‘Kecemerlangan Melalui Keterampilan’, merupakan tema yang telah dibawa dalam program Secretary Workshop 2014 anjuran Jabatan Setiausaha Agung (JASA), Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM). Program yang telah dijalankan pada 5 April ini telah disertai oleh 16 orang peserta termasuk setiausaha setiap Jabatan, Lajnah dan Unit di bawah organisasi BKAWM. Program telah dijalankan di Perpustakaan Darul Madani, Asrama Rumah Wilayah Persekutuan bermula jam 4.00 petang.

          Antara objektif dalam penganjuran program ini ialah membentuk aktivis yang mahir dan berkebolehan dalam bidang kesetiausahaan dan protokol majlis bagi meningkatkan pengurusan pentadbiran BKAWM serta melahirkan pelapis setiausaha yang berketerampilan dan bakal menjadi sumber tenaga BKAWM.

          Majlis perasmian telah dimulai dengan ucapan pengerusi majlis, seterusnya kalam harapan daripada pengarah, Saudara Muhammad Yasin bin Awang merangkap Setiausaha Agung BKAWM. Ucapan perasmian pula telah disempurnakan oleh Yang Dipertua BKAWM, Saudara Muhammad Syazwan Syamil bin Mohd Razman. Beliau mengharapkan agar program ini dapat melahirkan para pelapis berkualiti terutamanya dalam bidang pengurusan organisasi.

          Slot pertama bertajuk ‘Peranan Setiausaha dalam Sejarah Islam’ telah disampaikan oleh saudara Muhammad Iqbal bin Hj Atan, Fasilitator Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM), PMRAM Cawangan Selangor. Penyampaian beliau yang begitu bersemangat telah menaikkan motivasi para peserta dalam menjalankan gerak kerja khususnya selaku seorang setiausaha.

          Slot ‘Peranan dan Skop Tugas Setiausaha’ telah disampaikan oleh Saudara Muhammad Yasin bin Awang selaku Setiausaha Agung BKAWM. Penerangan yang jelas beserta penekanan dalam skop pengurusan BKAWM telah memberi banyak informasi kepada para peserta dalam menjalankan tugas sebagai setiausaha. Turut diterangkan etika umum Jabatan Setiausaha Agung (JASA).

          Dalam mencapai objektif membentuk aktivis yang mahir dalam pengurusan protokol majlis, slot ketiga telah disusun iaitu slot ‘Panduan Protokol Majlis dan Etiket Sosial’. Slot menarik ini telah disampaikan oleh Saudara Muhammad Hasbullah bin Suhaimi, Setiausaha Agung, Badan Kebajikan Mahasiswa Islam Pahang (BKMIP), PMRAM Cawangan Pahang.

          Turut dijalankan sesi Gerak Kerja Berkumpulan iaitu latihan berbentuk praktikal dalam kumpulan berkaitan slot-slot yang telah dibentangkan.

          “Secretary Workshop 2014 merupakan sebuah program yang dirangka dan dijalankan bagi meningkatkan kualiti pengurusan BKAWM bermula dari peringkat Jabatan, Lajnah dan Unit melalui pembentukan setiausaha-setiausaha berketerampilan,” ujar pengarah program, Saudara Muhammad Yasin.

          
          Keizzahan sesebuah organisasi sering kali diukur melalui kecekapan sistem pengurusannya. Setiausaha pula merupakan tulang belakang dalam skop ini. Justeru, adalah diharapkan melalui penganjuran Secretary Workshop 2014 dengan tema ‘Kecemerlangan Melalui Keterampilan’ ini dapat memberi impak positif kepada BKAWM dalam menjalankan fungsinya sebagai badan yang memelihara kebajikan mahasiswa Wilayah Persekutuan di bumi Mesir ini. Dalam masa yang sama, segala ilmu yang dipelajari bukan sekadar untuk dimanfaatkan di sini sahaja, tetapi merupakan antara kelengkapan penting apabila kita memasuki alam kerjaya kelak.

“Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah”
“Satu Fikrah Satu Amal”

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]