KALAM PIMPINAN: Ibrah Syawal



          Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi, kerana masih lagi diberi kesempatan untuk menyambut bulan Syawal, setelah sebulan menjalani madrasah ramadan pada tahun ini. Bulan Syawal juga, merupakan bulan kemenangan yang diberikan kepada umat Islam setelah sebulan umat Islam bertungkus lumus menjalani madrasah tarbiah Ramadan dengan penuh kesabaran. Mudah-mudahan setiap amalan yang dilakukan dapat menatijahkan taqwa.

          Sebelum berbicara lebih lanjut, saya ingin pembaca mengimbau seketika sejarah suci yang berlaku pada 17 Syawal iaitu peperangan Uhud yang berlaku di Bukit Uhud. Terdapat beberapa fakta yang secara zahirnya merupakan sebuah kekurangan bagi tentera Islam. Antaranya dari segi bilangan tentera Islam ketika berlakunya peperangan iaitu seramai 1000 orang sahaja berbanding tentera musuh seramai 3000 orang. Namun, kita dapat lihat bagaimana Uhud membentuk fikrah para sahabat supaya wala’ dengan sesuatu arahan dari pimpinan atasan sama ada dalam keadaan sukar mahupun senang.

          Alhamdulillah, pada kali ini Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) sekali lagi berkesempatan untuk meneruskan lagi aktiviti bagi menyambut bulan Syawal bersama anak-anak Wilayah Persekutuan sama ada yang berada di Kaherah mahupun cawangan di bawah program Sambutan Aidilfitri BKAWM 2014 (SALAM ‘14). Pihak ahli jawatankuasa pelaksana SALAM ‘14 telah menyusun pelbagai aktiviti yang menarik sepanjang berlangsungnya SALAM ‘14 yang kemuncaknya adalah pada 2 Syawal yang lalu bagi meraikan ahli Wilayah Persekutuan yang berada di Mesir.

          Di kesempatan ini, Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan (LDPI) sesi 2013/2014 ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada anak-anak Wilayah Persekutuan yang telah menjayakan SALAM ‘14. Di samping itu, pihak LDPI ingin menggalakkan kepada semua agar dapat meneruskan kesinambungan ibadah-ibadah sunat yang kita kerjakan di sepanjang Ramadhan yang lalu. Tambahan pula, pada bulan Syawal ini juga disunatkan kepada umat Islam untuk berpuasa sunat selama enam hari selain memenuhi masa dengan aktiviti ziarah-menziarahi saudara mara dan sahabat handai yang dekat mahupun berjauhan. Semoga Syawal kali ini dapat kita manfaatkan bagi mengerjakan amal kebajikan sebanyak yang termampu di samping dapat mengeratkan lagi silaturrahim sesama kita.

         Akhir kata, sesungguhnya hikmah dan kebaikan Syawal itu terhampar luas di hadapan kita. Oleh itu, dalam kita menjalani ibadah Syawal ini bawalah diri belayar mencari cinta Allah. Tarbiyahlah diri selagi masih ada peluang dan selagi Allah masih melabuhkan kasih sayangNya kepada kita. Wallahu’alam.


“Satu Fikrah Satu Amal”
“Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah”


Noor Syairah Atiqah binti Rahim
Timbalan Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir
Sesi 2013/2014.


Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]