MY ADHA'14 "Menghayati Pengorbanan, Menyubur Ketaqwaan"

KAHERAH, 2 Oktober 2014: Lajnah Dakwah Dan Pembangunan Insan BKAWM sesi 2014/2015 telah menganjurkan Majlis Perayaan Hari Raya Adha 2014 (MY ADHA'14) dengan bertemakan "Menghayati Pengorbanan , Menyubur Ketaqwaan".

            Sambutan ini diadakan bagi menghayati erti pengorbanan seperti yang telah disyariatkan oleh Islam dan memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan ahli BKAWM serta menambahkan pengetahuan yang berkaitan Aidiladha dan ibadah korban.


             Program MY ADHA '14 telah diadakan selama tiga hari bertempat di Asrama Rumah Wilayah Persekutuan, Kaherah di Mesir dengan pelbagai pengisian yang menarik. Pada hari pertama, telah berlangsung Kursus Penyembelihan dan Fiqh Korban serta slot praktikal penyembelihan ayam sejurus selepas Majlis Perasmian MY ADHA '14 yang telah disampaikan oleh saudara Mohd Mawardi Bin Mohd Zain. Kehadiran peserta ketika kursus ini amat memuaskan bahkan turut menerima penyertaan ahli-ahli dari PMRAM cawangan yang lain.
   
              MY ADHA '14 telah diteruskan pada hari kedua dengan menggalakkan semua ahli supaya berpuasa pada hari tersebut yang bersamaan dengan 9 Zulhijjah 1435 yang merupakan hari wukuf bagi jemaah haji di Arafah. Pada sebelah petang pula, sejurus selepas menunaikan solat maghrib secara berjemaah, laungan takbir raya mula kedengaran menandakan telah sampainya kepada 10 Zulhijjah 1435. Kemudian, ahli  dihidangkan dengan juadah berbuka puasa dan program pada hari tersebut diakhiri dengan solat Isya' berjemaah.


              Hari ketiga MY ADHA '14 merupakan hari kemuncak bagi anak-anak Wilayah Persekutuan di Mesir'. Selesai solat sunat Aidiladha di Masjid Musa, Hayyu Sabi', telah berlangsungnya sesi penyembelihan haiwan korban yang diketuai oleh saudara Mohd Mawardi Bin Mohd Zain. Pada sesi kali ini ahli-ahli berpeluang untuk menyembelih sendiri haiwan korban serta melapahnya.

              Sejurus selesai solat Isya' berjemaah,  Majlis Perasmian Penutup MY ADHA '14 telah berlangsung dengan lancar dan dirasmikan oleh Yang Dipertua BKAWM sesi 2013/2014, saudara Muhammad Syazwan Syamil bin Razman. Majlis malam tersebut diserikan lagi dengan persembahan nasyid dari kumpulan PARADISE. MY ADHA'14 ditutup dengan bacaan doa dan sedikit jamuan.

Harapan pengarah program, saudara Muhammad Adnan bin Ahmad melalui ucapannya ketika Majlis Perasmian Penutup ialah semoga tercapai objektif penganjuran program ini dan diharapkan setiap ahli dapat terus bersama BKAWM dalam setiap keadaan. Beliau juga berharap agar setiap ahli dapat menghayati tema pembawaan MY ADHA'14 iaitu "Menghayati Pengorbanan, Menyubur Ketaqwaan".

Pelbagai program telah dijalankan oleh BKAWM sepanjang tahun bagi meraikan ahlinya dan membesarkan syiarNya. Segala puji bagi Allah yang telah memberikan peluang kepada hamba-hambaNya untuk menikmati salah satu daripada hari kebesaran Islam iaitu hari raya Aidiladha yang penuh dengan kemuliaan. Semoga setiap usaha yang dilakukan bahkan sekecil manapun diterima dan diredai oleh Allah.


"BKAWM Keluarga Kita"
"Satu Fikrah Satu Amal"

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]