Risalah Kempen Rumahku Syurgaku: Kebersihan dan Keindahan Islam





Bil 01 : KEBERSIHAN DAN KEINDAHAN ISLAM

                Kebersihan merupakan sebahagian daripada iman. Ungkapan ini seringkali meniti di bibir umat manusia seantero dunia kerana menyedari akan pentingnya penjagaan kebersihan sebagai salah satu daripada syiar Islam. Secara umumnya, kebersihan dapat didefinisikan sebagai keadaan bebas dari kotoran. Namun begitu, frasa kata ini sebenarnya mencakupi konteks yang lebih luas dalam memahami dan menghayatinya.

                Konsep kebersihan hakikatnya terbahagi kepada dua bahagian iaitu kebersihan diri atau jasmani dan kebersihan jiwa. Hal ini selaras dengan hadis Rasulullah SAW yang mulia yang mafhumnya : Rasulullah SAW telah bersabda:

“Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Ucapan zikir Alhamdulillah memenuhi neraca timbangan. Ucapan zikir Subhanaallah dan Alhamdulillah kedua-duanya memenuhi ruangan antara langit dan bumi. Sembahyang itu adalah cahaya. Sedekah itu adalah saksi. Sabar itu adalah sinaran. Al-Quran itu adalah hujah bagimu atau hujah ke atasmu. Setiap manusia ke luar waktu pagi, ada yang menjual dirinya, ada yang memerdekakan dirinya dan ada pula yang mencelakakan dirinya.”
                                                                                                                         Riwayat al-Imam Muslim
   
         
Perbincangan hadis ini berkisarkan tentang kebersihan sebagai salah satu pecahan dalam keimanan Islam dan tidak terhad kepada anggota badan sahaja. Justeru itu, kebersihan sebagai komponen utama dalam kehidupan sewajarnya difahami akan pembahagiannya agar tidak hanya memfokuskan kepada satu bahagian sahaja sama ada kebersihan fizikal atau kebersihan rohani.
          
      Kebersihan diri amat berkait rapat dengan simbol ketamadunan sesebuah negara. Negara Jepun dapat dijadikan contoh dalam aspek ini. Ketamadunannya diserlahkan melalui kebersihan fizikal dan persekitaran. Maka, sebagai langkah untuk mengangkat keindahan Islam di pentas dunia, kebersihan diri sewajarnya dititik beratkan semenjak kecil lagi seperti peribahasa ‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Kebersihan fizikal ini bukan sahaja pada jasad seseorang individu muslim seperti berpakaian bersih dan bersugi, akan tetapi ia juga dilihat dari segi persekitaran insan tersebut. Suasana tempat tinggal yang bersih yang merangkumi makan minumnya, peralatannya serta kelengkapan yang digunakan menjadi bukti wujudnya rumahtangga muslim yang sejati. Hal ini kerana Islam amat mengambil berat akan perihal kebersihan malah ketika beribadah kepada Allah seperti solat dan tawaf, Islam meletakkan kebersihan sebagai syarat sah ibadah. Oleh itu, kebersihan fizikal semestinya diaplikasikan dalam diri kita agar keindahan Islam yang nyata tidak terhapus dek kealpaan kita.
          
      Para ulama’ telah memperhalusi akan pentingnya kebersihan selaras dengan Islam. Hal ini dapat dilihat menerusi kebersihan jiwa yang sering diungkapkan dalam hadis-hadis Rasulullah SAW Kebersihan dari segi kerohanian merupakan aset utama seseorang muslim rabbani kerana kebersihan jiwa menentukan tahap syakhsiah seseorang insan sama ada ke arah kebaikan mahupun kejahatan. Pertalian rapat antara kebersihan jiwa dan akhlak menjadikan kebersihan jiwa sebagai faktor penting dalam meninggikan martabat Islam sebagai suatu agama yang indah. Islam juga amat menekankan akhlak dalam kehidupan seharian. Antara hadis Rasulullah SAW yang meyatakan berkaitan akhlak adalah :mafhumnya “Sesungguhnya orang yang termasuk orang baik-baik ialah orang yang paling baik akhlak dan adab sopannya”.

Akhlak Rasulullah SAW sendiri diibaratkan seperti al-Quran. Hal ini secara tidak langsung menjelaskan akan kepentingan kebersihan jiwa dalam membina akhlak dan adab seseorang muslim. Moral dan akhlak negatif yang berleluasa pada zaman modenisasi ini tidak lain dan tidak bukan hasil daripada kealpaan kita dalam membersihkan kerohanian kita daripada anasir-anasir kerosakan. Maka, kebersihan jiwa secara umunya merupakan tiket bagi simbol akhlak islamiah yang amat penting dalam merafakkan keindahan Islam di mata dunia.

                Konklusinya, kebersihan wajar diutamakan dalam diri kita sebagai khalifah, pendakwah dan hamba Allah di atas muka bumi ini. Hal ini kerana kebersihan jasmani dan rohani merupakan cerminan terhadap Islam sebagai agama Allah yang indah. Harapannya, kita sama-sama dapat menjaga kebersihan dalam segenap aspek kehidupan bagi melahirkan generasi muslim yang dapat merasai nikmat persekitaran yang sihat dan contoh tauladan yang baik.

Nukilan oleh :
Munira Binti Mahammad Noor
Tahun 3 Kuliah Perubatan
Universiti Al-Azhar


Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]