BELANJAWAN YANG BIJAK
Alhamdulillah, segala puji bagi
Allah Tuhan sekalian alam yang masih mengurniakan nikmat kepada kita . Selawat
serta salam ke atas Junjungan besar nabi Muhammad SAW kerana dengan jerih payah
Baginda kita masih dapat merasai nikmat Iman dan Islam.
Belanjawan yang bijak merupakan
tunjang yang penting dalam pembentukan kehidupan seseorang individu,
pembangunan masyarakat malah kepada pembinaan negara maju dan berwawasan. Mengikut salah
satu elemen dalam Maqasid Syariah iaitu hifzul
Mal (penjagaan harta) Islam telah meletakkan beberapa garis panduan untuk
menjaga dan mengurus kewangan dengan bijak.
Pada sesi ini, Unit Ekonomi BKAWM
telah mengadakan ‘Smart Entrepreneur Campaign’ sebagai satu langkah kepada ahli
supaya dapat menguruskan belanjawan dengan bijak. Pelbagai aktiviti yang disusun
di bawah kempen tersebut antaranya Tabung Belia, Bengkel Keusahawanan, Modal
Niaga dan sebagainya.
Melalui medium tersebut, setiap
ahli dapat meningkatkan pengetahuan masing-masing dalam bidang pengurusan kewangan.
Perancangan yang baik dari sudut pengurusan kewangan merupakan elemen yang
penting bagi seseorang mahasiswa untuk persediaan masa hadapan terutamanya
apabila berumah tangga.
Sebagai seorang mahasiswa, kita juga sewajarnya
menetapkan matlamat dalam belanjawan yang dilakukan. Ini akan mewujudkan satu
aliran kewangan yang teratur dan sekaligus dapat mengelakkan pembaziran dan
perbelanjaan yang berlebihan. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“ Sesungguhnya pembaziran itu
adalah saudara syaitan, dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya”. (Surah
Al-Isra’:27)
Kita juga semestinya mengenal
pasti setiap keutamaan perbelanjaan kita samada mengikut daruriyat, hajiyat atau
tahsiniyat. Segelintir daripada kita hanya berbelanja mengikut kehendak tanpa
mementingkan kepentingan yang akan datang. Perbelanjaan yang baik penting untuk
mendapat kehidupan yang diberkati.
Akhir kalam, Badan Kebajikan Anak
Wilayah Persekutuan (BKAWM) mengharapkan setiap ahlinya dapat menguruskan
perbelanjaan dengan bijak. Ini sekaligus untuk mencapai misi BKAWM sesi ini
iaitu membina identiti mahasiswa Islam yang mahir bukan sahaja dari sudut
akademik malah dari sudut pengurusan kewangan dan organisasi.
"BKAWM Keluarga Kita"
"Pemantapan Fikrah Tunjang Kebersamaan"
Satu Fikrah Satu Amal
Nurzuliana binti Zulkarnain
Timbalan Bendahari Agung
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM)
Sesi 2014/2015.
Comments
Post a Comment