RISALAH BIAH SOLEHAH: Saf Solat Berjemaah Rapat dan Lurus Bukti Mencintai Rasulullah


               Menjadi kebiasaan bagi imam sesebuah solat berjemaah bagi mengungkapkan sepotong hadis Rasulullah SAW ketika hendak mendirikan solat berjemaah.

Anas bin Malik berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Luruskan saf kamu, kerana saf yang lurus termasuk solat yang sempurna.” (Hadis Riwayat Muslim)

Namun seruan itu sering diabaikan oleh masyarakat sebahagiannya mengaku cintakan nabi Muhammad SAW, namun memandang ringan akan seruan baginda SAW. Sesungguhnya kecintaan kepada Rasulullah SAW perlu diterjemahkan dengan mengikuti sunnah-sunnah Baginda SAW.

Anas RA berkata, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga perkara bagi sesiapa yang ada padanya maka dia mendapati kemanisan iman. Pertama, hendaklah Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai kecuali kerana Allah. Kedua, taat ibu bapa selagi tidak melanggar perintah Allah. Ketiga, hendaklah dia benci untuk kembali kepada kekufuran seperti mana dia benci untuk dicampakkan ke dalam neraka.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jika kecintaan kepada ibu bapa menuntut kepada ketaatan terhadap perintah mereka, apakah pula alasannya tidak mengendahkan perintah Rasulullah SAW? Sedangkan kedudukan cinta terhadap Rasulullah SAW lebih tinggi berbanding ibu bapa. Begitulah kecintaan sebenar kepada Rasulullah SAW. Ianya perlu untuk mengikut sunnah Baginda SAW seperti firman Allah SWT yang bermaksud :

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” 
(Surah Ali-Imran, ayat 31)

Mungkin ada yang tidak selesa jika solat dalam keadaan rapat serta dalam saf  yang lurus. Tidak kurang juga timbul perasaan geli untuk berdiri bersentuhan bahu dan bertemu kaki ketika solat jemaah. Namun, ketahuilah bahawa dalam sunnah yang dipandang ringan ini, terkandung penawar bagi penyakit perpecahan yang sedang melanda umat Islam kini.

Daripada Abu Mas’ud, katanya: “Rasulullah SAW menyentuh bahu kami sebelum solat sambil berkata, luruskan barisanmu (saf), jangan bengkok, nescaya ia yang menyebabkan hatimu berpecah-belah.” 
(Hadis riwayat Muslim)

Rasulullah SAW mempunyai cara tersendiri dalam mewujudkan perpaduan yang utuh dalam kalangan sahabat dengan menyempurnakan saf solat. Ini jelas terbukti apabila generasi yang ditarbiah oleh Rasulullah SAW amat menjaga perpaduan dan kesatuan seperti kaum Muhajirin dan Ansar yang telah dipersaudarakan semasa hijrah baginda SAW. Marilah bersama menjaga serta meluruskan barisan (saf) di dalam solat agar perpaduan yang terbina bertambah kukuh dan erat dalam keluarga kita BKAWM khususnya.


Nukilan : Nik Mohamad Azahari bin Nik Salleh
Kuliah Syariah Islamiah Tahun 3



Disediakan oleh: 
Unit Biah Solehah,
Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir sesi 2014/2015


Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]